APMM Rampas 1,200 Karton Rokok Seludup


JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,200 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM120,000 di perairan Rengit, Batu Pahat, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat, Lt Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata kegiatan terbabit dikesan kira-kira 1.30 pagi tadi oleh anggota APMM yang melakukan rondaan rutin di perairan terbabit.

“Sebuah bot ronda APMM telah terserempak dengan sebuah bot fiber yang sedang menyusur masuk ke Sungai Rengit dalam keadaan mencurigakan.

“Didapati terdapat aktiviti pemunggahan rokok di kawasan bakau dilakukan dari bot fiber itu, namun, suspek yang terlibat kemudian dilihat melarikan diri apabila dihampiri bot ronda APMM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas bot fiber berkenaan menemui 1,200 karton rokok itu yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

Beliau berkata kesemua rokok dan bot fiber terbabit kini dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Menurut Muhammad Zulkarnain, pihaknya akan mempertingkatkan lagi pemantauan dan rondaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai memberi maklumat berkaitan kesalahan maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Pangkalan Maritim Batu Pahat di talian 07-4344040. – BERNAMA