Asmidar Sayu Sambut Puasa Di Korea Tanpa Keluarga


KUALA LUMPUR - Perasaan sayu membelenggu diri penyanyi, Asmidar apabila tidak dapat menyambut 1 Ramadan bersama keluarga disebabkan tuntutan kerja. 

Katanya, rutin setiap kali bulan puasa adalah membantu keluarga berniaga di bazar namun kali ini dirinya perlu melunaskan tanggungjawab di Festival Lagu Asia di Korea. 

"Saya memuat naik video yang dihantar Fatah menerusi aplikasi WhatsApp beberapa hari lalu. Mungkin dia malu untuk berterus terang menyatakan kerinduan namun dari kiriman itu saya memahami maksudnya. 

"Pasti setiap insan yang menyambut puasa ingin bersahur dan berbuka dengan keluarga, begitu juga saya. Tetapi saya ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Tambahan pula Ramadan adalah masa saya membantu ibu bapa berniaga. 

"Insya-Allah, jika tiada aral saya akan menolong di gerai keluarga bermula esok. Apabila sudah menjadi rutin, itu yang membuatkan kita agak terkilan andai tidak turun parang," katanya. 

Sejak beberapa tahun lalu, keluarga penyanyi itu berniaga murtabak di bazar Ramadan. 

Bercerita mengenai pembabitan di Festival Lagu Asia, Asmidar meluahkan kesyukuran tugasnya menyampaikan tiga buah lagu iaitu Ghazal Untuk Rabiah, Mustika dan Ala Donde Si Donde berjalan dengan lancar. 

"Alhamdulillah, tidak sangka sambutan yang diberikan sangat memberangsangkan. 

"Malah, orkestra dari Korea yang mengiringi persembahan kami dari lima negara turut berjaya mengiringi persembahan kami dengan baik. Saya berbangga dijemput mewakili negara di festival ini," kata Asmidar. 

Selain wakil dari Korea sendiri, Festival Lagu Asia itu turut mengundang empat buah negara seperti Malaysia, Mongolia, Kemboja dan Vietnam.

Sumber: Berita Harian