Awas Liridon! Kiko Insa Beri Amaran Akan Main Agresif


Pemain tengah Pahang, Kiko Insa, memberi bayangan akan menggalas tugas khas merantai perancang utama Kedah, Liridon Krasniqi, apabila menegaskan corak permainan agresif tetap menjadi taruhan utamanya dalam aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tok Gajah berdepan perhitungan getir di jentera tengah kerana skuad Hijau Kuning memiliki kombinasi mantap yang diketuai Krasniqi atau mesra disapa Mat Don dalam kalangan penyokong.

Posisi berkenaan diramal menjadi penentu perlawanan, di mana jentera tengah Pahang dituntut berfungsi dengan baik untuk menandingi kehebatan barisan tengah Kedah.

Perkara itu tidak dinafikan Insa selaku pemain tengah bertahan apabila bertekad tidak akan memberi muka kepada lawan dalam usaha membantu Pahang mengecapi kejayaan.

"Peranan saya dalam pasukan, iaitu berada di depan pertahanan, adalah untuk mematahkan pergerakan lawan dan memberi bantuan kepada rakan-rakan lain.

"Jadi ada kalanya saya perlu memainkan peranan penting dan sepanjang masa saya perlu mengekang mereka. Ini semua berdasarkan taktikal sehingga terpaksa beraksi keras," katanya yang didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Sementara itu, pengendalinya, Dollah Salleh, mengakui berdepan kesukaran menamakan kesebelasan terbaik selepas semua anak buahnya mempamerkan keazaman untuk diturunkan.

"Saya tidak mahu tersilap langkah dalam menyenaraikan 18 pemain, terutama kesebelasan utama. Saya harap tidak membuat silap daripada segi itu.

"Saya juga takut untuk menghampakan pemain lain yang tidak dapat disenaraikan," tambahnya.

Sumber: Stadium Astro