Azrai Khor Mahu Lang Merah Contohi JDT

Image result for azraai khor pasukan kedah

ALOR SETAR - Bekas Ketua Jurulatih Kedah memuji kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh barisan anak muda skuad Helang Merah selepas berjaya muncul sebagai juara Piala FA 2017 dan sekali gus layak  automatik ke Piala AFC 2018.

Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau berbangga dengan kejayaan tersebut walau bagaimanapun skuad Helang Merah perlu memperkukuhkan barisan dan bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan berat.

Tegasnya, persiapan awal perlu dijalankan dan barisan pemain serta pihak  pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu mengambil conoh sebagaimana pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merencanakan perjalanan mereka dalam misi menghadapi Piala AFC.

"Ambil contoh JDT, lihat bagaimana mereka berjaya rancang perjalanan mereka menghadapi Piala AFC selain menghadapi kesibukan jadual Liga- M. Jika mereka boleh lakukan mengapa tidak Kedah," katanya.

Walaupun begitu, Azraai percaya bahawa pemain-pemain tempatan dan muda yang dimiliki pasukan Kedah kini mempunyai nilai, berkualiti serta berbakat dan tidak kurang juga dibarisi oleh pemain import yang mampu membantu pasukan untuk memberikan impak positif.

"Pengalaman pada Piala AFC 2008 agak berjaya sebab kita mampu sampai ke peringkat suku akhir tetapi di peringkat ini, kita bermain tanpa tenaga import iaitu Marlon Alex James, Nelson Sam martins dan Cornelius Bernard Hunggins ekoran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tidak lagi mengguna tenaga import dalam liga kita.

"Pada tahun seterusnya, kita lalui juga Piala AFC tanpa tenaga import. Walaupun pahit untuk ditelan namun kita berjaya mara ke pusingan kedua," ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut menitikberatkan soal perancangan kewangan dan penaja bagi menjamin kelancaran saingan pada peringkat AFC selain pihak berwajib perlu memastikan pemain bersedia untuk menggalas cabaran memperkuatkan kekuatan pasukan.

"Perancangan dari segi kewangan seperti penaja dan pembentukan skuad 2018 yang boleh bersaing di peringkat AFC sudah boleh dimulakan sekarang seperti menyenarai pemain-pemain yang difikirkan perlu untuk memperkukuhkan pasukan," katanya.

Pasukan Helang Merah yang kini berada dibawah bimbingan Mohd Nidzam Adzha Yusof itu telah berjaya membawa pulang Piala FA ke Alor Setar selepas kali terakhir melakukannya sembilan tahun lalu.

Zaman kegemilangan Hijau Huning tersebut turut menyaksikan mereka berjaya muncul sebagai juara berganda 2007 dan 2008. - Kedahnews.com