Baik Pulih 35 Klinik Desa Baling Bersama Giat Mara

BALING -  -- Kerja membaik pulih tiga daripada 35 klinik desa di daerah Baling dijangka siap menjelang Khamis depan manakala baiknya akan dilaksanakan secara berperingkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, menjelaskan, kerja membaik pulih Klinik Desa Teloi Kanan, Klinik Desa Charuk Beras dan Klinik Desa Kuala Merah, yang dimulakan pada 16 Mei lalu membabitkan kos RM46,000 itu kini siap 80 peratus.

Daerah Baling antara daerah yang mempunyai klinik desa paling banyak di Kedah, namun hanya sebuah sahaja klinik desa yang dibina baharu dan selebihnya merupakan bangunan rumah bersalin kerajaan yang dinaik taraf menjadi klinik desa.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Pembaikan Klinik Desa Daerah Baling di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Giat Mara Baling dan Sik serta Kolej Komuniti Baling, di Klinik Kesihatan Kuala Ketil, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, projek sama sudah dilaksanakan sebelum ini di Johor, Sabah, Sarawak dan Perak, dan pada tahun ini di beberapa negeri lain termasuk Kedah.

Dr Chen berkata kos untuk membaik pulih semua klinik desa di seluruh negara agak terhad dan tidak mencukupi, namun menerusi pelaksanaan NBOS, kos kerjanya menjadi lebih rendah manakala jangka masa pelaksanaan pula singkat namun memberi impak yang tinggi.

Contohnya, kos secara sebut harga bagi tiga klinik desa terbabit ialah RM83,100 manakala kos secara NBOS ialah RM46,000, penjimatan RM37,100," katanya.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan menerusi NBOS bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan Kementerian Kesihatan, malah kepada kakitangan yang mendapat kemudahan kuarters, untuk tinggal dalam persekitaran yang lebih baik.

Katanya, selain klinik desa, NBOS yang dilaksanakan turut melibatkan usaha mengecat semula 33 bangunan Kolej Kejururawatan dan Kolej Penolong Pegawai Perubatan. - Bernama