Baling Perlukan 10 Lagi Menara Telekomunikasi - Azeez Rahim


BALING - Daerah Baling yang terletak kira-kira 110 kilometer dari ibu negeri, memerlukan sekurang-kurangnya 10 lagi menara pencawang telekomunikasi bagi memastikan penduduk di sini dapat menikmati kemudahan internet dan talian telefon yang memuaskan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ketika ini terdapat 20 pencawang telekomunikasi di daerah ini, namun ia masih tidak dapat menampung kapasiti penggunaan internet terutama di kawasan pedalaman seperti Kupang dan Bayu yang agak kritikal.

"Baling ini luas dan keperluan untuk menambah jumlah menara sangat penting memandangkan sehingga kini, masih ada sekolah, masjid dan pusat-pusat tumpuan orang ramai yang tidak boleh mengakses internet malah telefon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Negaraku: Menghubung Menyatu di Sekolah Kebangsaan Kuala Merah, Kuala Ketil di sini kelmarin.

Jelasnya, capaian internet yang kurang di daerah ini menyebabkan penduduk sekitar terpaksa pergi ke pekan atau bandar yang terletak berpuluh kilometer bagi melakukan pelbagai urusan sama ada pembayaran atau pun mendapatkan maklumat terkini. 

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Umairah Aziz, 30, berkata, akses internet di kawasan rumahnya di Kuala Merah agak terhad malah adakalanya tiada langsung di tempat-tempat tertentu.

"Susah juga tanpa akses internet yang kuat dan stabil kerana saya menjalankan perniagaan dalam talian. Pernah saya terpaksa pergi ke pekan Baling untuk menyelesaikan urusan jual beli dalam talian kerana akses di rumah terlalu perlahan," katanya.

Bagi seorang kakitangan awam, Shamsul Ikmal, 36 pula, keperluan internet dan telefon sangat penting bagi pembelajaran anak-anaknya memandangkan mereka tinggal di kawasan yang agak jauh di kawasan pedalaman.

"Satu-satunya cara untuk kami terutama pelajar mendapatkan maklumat dalah melalui internet dan telefon. Tapi, di sini, kadang kala, agak sukar mendapat talian, jika perancangan untuk menambah pencawang telekomunikasi di tempat yang sepatutnya dilaksanakan, saya memang gembira," katanya.

Program anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tersebut menyaksikan seramai 40 keluarga menerima sumbangan Astro Njoi manakala 10 pelajar terpilih menerima basikal. - Bernama