Banjir Kilat: Air Naik Paras Pinggang Di Sekitar Alor Setar

Rumah penduduk dinaiki air selepas hujan lebat, malam kelmarin.
ALOR SETAR - Penduduk Alor Mengkudu di sini terkejut apabila kampung mereka dilanda banjir kilat setelah hujan lebat selama setengah jam, malam kelmarin.

Bagaimanapun, sebanyak empat buah rumah dan tiga kedai yang terjejas susulan hujan itu antara jam 9.45 hingga 10.15 malam.

Punca kejadian banjir itu didakwa berpunca dari kerja naik taraf longkang di kampung tersebut.

Antara kawasan lain yang terjejas adalah  di Jalan Teratai, Jalan Teluk Wanjah, Bee Bee Park, Taman Padi Emas, Taman Rakyat,  Alor Setar Mall, Kampung Berjaya, Jalan Putra Star, Taman Seri Kota, Sungai Korok, Taman Golf dan Kuala Sungai.

Pembantu Adun Alor Mengkudu, Mohd Amin Ismail berkata, beliau menggesa pihak berkaitan yang melakukan kerja-kerja tersebut membersihkan saliran utama yang tertutup dipercayai akibat kerja-kerja naik taraf jalan utama Alor Mengkudu-Simpang Kuala.

Menurutnya, longkang utama yang tertutup akibat kerja-kerja naik taraf menyebabkan air hujan tidak dapat melalui longkang berkenaan.

"Akibat banjir tersebut difahamkan setiap unit rumah mengalami kerugian hampir RM10,000 berikutan kerosakan harta benda termasuk perkakasan rumah.

“Selain rumah, antara kedai terjejas akibat ditenggelami air setinggi satu meter ialah kedai membaiki kereta, kedai gunting rambut dan kedai makanan,” katanya kepada media, semalam.

Kerja-kerja naik taraf longkang yang didakwa menjadi punca banjir.
Susulan itu, beliau menggesa kepada pihak kerajaan negeri melalui exco yang terlibat untuk membantu keluarga dan pihak yang terjejas, secepat mungkin.

“Dalam masa sama, pihak pemaju juga diminta menyelesaikan segera masalah perparitan dan longkang yang tertutup akibat kerja-kerja dilakukan mereka,” katanya.

Sementara itu, pusat khidmat Adun Alor Mengkudu turut mengalu-alukan sumbangan membantu mangsa terjejas dalam bencana ini dari segi bantuan barangan keperluan dapur.