Baru Lepas Putus Cinta, Elizabeth Tetap Minat Lelaki Melayu


BERITA baik buat lelaki berbangsa Melayu di luar sana– penyanyi bersuara seksi Elizabeth Tan akui bahawa dirinya sangat tertarik dengan keperibadian lelaki Melayu!

Meskipun baru sahaja putus cinta dengan seorang lelaki berbangsa Melayu kira-kira dua minggu yang lalu, namun itu tidak menjadikan penyanyi berbangsa Cina itu untuk serik bercinta dengan lelaki Melayu lagi selepas ini.

Jadi ada dua berita baik sebenarnya— penyanyi Knock,Knock ini sukakan lelaki Melayu dan dia sedang solo.

Menurut Elizabeth atau Lizzy, dia mempunyai alasan sendiri mengapa dia amat senang mendampingi lelaki Melayu.

“Apa yang saya suka daripada orang Melayu ini, kalau mereka sayang seseorang itu, mereka akan meletakkan orang yang disayangi itu sebagai keutamaan. Lagi satu, kenapa saya lebih suka lelaki Melayu kerana mereka kelakar,” jelasnya, memetik laporan Kosmo!.


Sementara itu, mengenai hubungan cintanya yang tidak kesampaian dengan bekas teman lelaki, Lizzy mengakui bahawa dirinya berasa amat terkesan walaupun hanya sempat menjalin hubungan selama empat bulan sahaja.

“Kami putus sebab banyak isu yang berlaku sepanjang bersama. Pada masa sama, sepanjang empat bulan bercinta saya belajar banyak benda. Saya memang suka lelaki Melayu sejak di bangku sekolah lagi.

“Tetapi dia (lelaki yang baru putus cinta dengannya dua minggu lalu), satu-satunya lelaki yang saya sudah bawa jumpa keluarga. Saya sangat menyayanginya dan hubungan kami memang serius ketika itu. Sayangnya tidak berpanjangan,” jelasnya lagi. - Kedahnews.com