Baru Usia 3 Tahun, Lara Alana Sudah Mula Bayar Cukai Pendapatan


PELAKON Scha Al-Yahya mendedahkan anak tunggalnya, Lara Alana perlu membayar cukai pendapatannya sendiri berikutan anaknya itu juga sudah mampu menjana pendapatan sendiri biar pun baharu sahaja mencecah usia tiga tahun.

Menurut Scha, dia dan suaminya, Awal Ashaari, sudah melantik seorang ejen bagi menguruskan hal-hal berkaitan pembayaran cukai Lara.

“Kami menyerahkan kepada ejen menguruskan akaun Lara Alana. Akaun itu berbeza daripada saya dan Awal. Ejen itu berperanan sebagai wakil untuk menghantar dan menguruskan cukai anak kami.

“Malah Lara Alana sudah ada fail cukai pendapatan di LHDN dan akan mula membayar cukai pertamanya tahun ini,” kata aktres itu memetik laporan BH Online.

Walaupun baru berusia tiga tahun, namun Lara sentiasa disambar pelbagai produk antarabangsa untuk dijadikan sebagai duta mereka.

Jadi tidak hairanlah Lara pun dah punya pendapatan sendiri hasil tawaran berlakon iklan dan menjadi duta produk. –Kedahnews.com