Bawa Lari Lori MBPP, Dua Penjaja Mengaku Tidak Bersalah


GEORGE TOWN - Dua individu yang bekerja sebagai penjaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret , Pulau Pinang atas pertuduhan menghalang penjawat awam dengan melarikan sebuah lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Media tempatan melaporkan, tertuduh, Mohammad Haziq Ammar Mohd. Hussein, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd. Hassan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah menghalang penjawat awam iaitu dengan membawa lari sebuah lori bernombor pendaftaran PFP 8531 jenis Hicom milik MBPP di gerai makan hadapan Balai Bomba Bagan Jermal, Jalan Tanjung Tokong di sini kira-kira pukul 8.30 malam, pada 4 Mei lalu.

Mohamad Amin kemudiannya membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua penjaja tersebut membawa lari lori MBPP akibat berang dengan tindakan penguat kuasa cuba merampas barang perniagaan mereka.

Kedua-dua lelaki tersebut membawa lori berkenaan ke Balai Polis Pulau Tikus dan membuat laporan polis sebelum ditahan pada malam kejadian. –Kedahnews.com