Bayi Ditinggal Dalam Tong Sampah Sihat


TEMERLOH - Bayi lelaki yang dijumpai di dalam tong sampah di Taman Temerloh Jaya 9, di sini semalam berada di dalam keadaan sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, bayi berkenaan kini mendapat rawatan dan pemantauan berterusan daripada pakar perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini.

“Berdasarkan makluman doktor pakar yang merawatnya, bayi berkenaan berada dalam keadaan baik dan luka di kepala telah dijahit.

“Bayi seberat 2.4 kilogram itu juga tidak mempunyai tanda-tanda penyakit dalaman dan lain-lain,”katanya selepas melawat bayi berkenaan di Hoshas hari ini.

Menurut Shahaniza, hospital tersebut akan memantau perkembangan bayi itu selama seminggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semalam penduduk di daerah ini digemparkan dengan penemuan bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalam tong sampah taman perumahan tersebut. 

Sumber : Utusan Online