Bapa mana yang tidak luluh hatinya apabila mendapat perkhabaran sedih bahawa anak kesayangan sendiri yang berusia empat tahun itu dimaklumkan sedang menderita penyakit kanser.
Namun itulah yang berlaku kepada anggota kumpulan nasyid kontemporari terkenal, UNIC, Bazli Hazwan Che Osman apabila anak lelakinya, Mohd Syahid disahkan menghidap kanser kalenjar tahap tiga pada Januari lalu.
Kelibatnya di pentas program Gema Gegar Vaganza (GGV) pada Sabtu lalu dilihat cukup bertenaga memberikan persembahan namun di sebalik keceriaannya itu, Bazli, 33, sebenarnya sedang tabah menahan perasaan sedih.
Ini kerana dia sentiasa terkenangkan keadaan anak kesayangannya itu tetapi ujar Bazli, dia juga harus kuat demi Mohd. Syahid dan mengalah dengan nasib yang menimpa anaknya bukan satu pilihan wajar pada masa ini.
Sebaliknya Bazli harus bangkit dalam memastikan kanak-kanak tersebut akan pulih seperti sedia kala, malahan dia perlu tabah mengharungi segala dugaan yang sedang menimpa ahli keluarganya itu.
“Dugaan ini memang berat tetapi saya jadikan Mohd. Syahid sebagai inspirasi dan sebagai bapa, saya perlu mengandakan kekuatan demi mengharungi situasi sukar yang menimpa anak saya sendiri.
“Pada saya sabar bukan bererti mengalah atau lemah semangat tetapi ia buat saya bangkit untuk melakukan yang terbaik untuk anak, isteri dan diri sendiri,” katanya ketika ditemui portal tempatan, mStar.
Menceritakan keadaan sebenar anak sulungnya itu, Bazli berkata, ia bermula sekitar Disember pada tahun lalu apabila Mohd. Syahid kerap demam dan dia mengesan bonjolan timbul pada bahagian lehernya.
Bagaimanapun kata Bazli, ketika itu doktor memberitahu bonjolan tersebut adalah beguk dan hanya diberi rawatan biasa. Beberapa klinik juga kata ia beguk namun keadaannya tetap tidak pulih selain demamnya berterusan.
“Apabila dibawa ke sebuah hospital lain, doktor mengatakan Mohd. Syahid terkena jangkitan kuman dan diberikan antibiotik walaupun kondisinya tetap sama sehinggalah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.
“Waktu itu, doktor kesan ada satu lagu bonjolan di bawah ketiaknya dan mengesyaki ia kanser. Pihak hospital terus merujuk anak saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana di sana ada pakar kanser kanak-kanak,” ceritanya.
Sehingga kini kata Bazli, Mohd. Syahid sudah berjaya melakukan tiga kali kimoterapi bagi membunuh sel kanser di dalam badannya dan masih berbaki dua kali lagi rawatan tersebut untuk diselesaikan.
“Doktor memberitahu bagi memastikan sel-sel kanser itu dimatikan sepenuhnya, Mohd. Syahid perlu menjalani lima kali rawatan kimoterapi, tetapi jika tidak berjaya, kimoterapi itu terpaksa dilakukan sebanyak lima sesi lagi.
“Apa yang saya pinta adalah doa daripada semua semoga Syahid tabah dan diberi kekuatan mengharungi rawatannya,” kata Bazli yang bagaikan mendapat semangat setiap kali menjenguk anaknya di hospital tersebut.
Kini rutin hariannya sebelum pergi kerja, dia mesti akan singgah terlebih dahulu di hospital untuk mengelap badan Mohd. Syahid sambil membacakan ayat al-Quran demi anaknya itu kembali pulih seperti sedia kala.
Lebih memilukan Bazli apabila menyedari Mohd. Syahid juga menghidap penyakit autisme yang tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik bagi mengadu atau meluahkan segala rasa sakit dihadapinya selama ini.
Bagaimanapun ujar Bazli, kesan daripada kimoterapi, Mohd. Syahid akan mengalami ulser pada bahagian mulut, rambut gugur selain badan menjadi panas dan kulitnya bertukar kusam.
“Baru-baru ini dia menghidap demam selepas melakukan kimoterapi kali ketiga. Ikut prosedur pesakit kanser, dia perlu dirawat semula di wad hospital kerana dibimbangi mungkin dijangkiti kuman.
“Rawatan kimoterapi memang akan menghapuskan antibodi badan dan sekali gus memudahkan seseorang dijangkiti kuman tetapi Alhamdulillah keadaan Mohd. Syahid kembali stabil,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bazli berkata, dia terharu apabila Hijjaz bermurah hati mendermakan wang kemenangan mereka pada konsert mingguan pertama Gema Gegar Vaganza berjumlah RM5,000 kepada Mohd. Syahid.
“Terima kasih pada kumpulan Hijjaz dan Astro atas sumbangan untuk rawatan anak saya dan wang tersebut akan saya gunakan untuk keperluan Mohd. Syahid pada masa sekarang atau masa hadapan,” katanya.
Bagi sesiapa yang ingin hulur bantuan bagi meringankan beban adik Mohd. Syahid, sumbangan boleh dibuat kepada Mohd. Fairul Zainal Abidin (Pengarah Urusan UNICDOTMYPRO) menerusi akaun RHB Bank 1581-8700-0626-40. - Kedahnews.com