Bekas Guru Usia 83 Tahun Terima Ijazah Sarjana Muda


AYER KEROH – Usia tidak menghalang bekas guru berusia 83 tahun untuk menggenggam segulung ijazah apabila berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), di sini.

A Krishnan yang mempunyai dua anak mengambil tempoh selama empat tahun untuk menyiapkan tugasan dan pengajiannya berikutan pernah dimasukkan ke hospital akibat masalah prostat.

“Namun, ia (penyakit) tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan pengajian. Kejayaan ini berjaya membuktikan walaupun umur sudah meningkat, saya masih boleh berjaya dalam bidang akademik dan berharap ia menjadi contoh dan perangsang kepada golongan muda,” katanya ketika ditemui.

Krishnan yang juga bekas guru subjek Perakaunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas dan SMK Tunku Besar, Tampin, Negeri Sembilan ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-20 OUM di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Datuk kepada dua cucu itu berkata, hasratnya menyambung pengajian mendapat sokongan penuh daripada dua anaknya yang kini bekerja sebagai peguam dan doktor.

“Tambahan pula tahap kesihatan saya masih baik. Saya gembira kerana sepanjang empat tahun melanjutkan pengajian semuanya berjalan lancar, malah setiap tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan di universiti sama.

Seramai 600 graduan universiti itu menerima Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana, termasuk graduan antarabangsa dari Ghana, Somalia dan Vietnam.

Sementara itu, usahawan Tapai Pulut Sarimah, Sarimah Abd Rashid, 46, turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) selepas lapan tahun mengikuti pengajian.

“Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghabiskan pengajian atas pelbagai faktor, selain bergelar isteri, ibu, majikan dan pelajar pada masa sama.

“Walaupun mengambil tempoh yang agak lama, saya tidak akan mensia-siakan atau melakukan separuh jalan kerana perlu membuktikan kaum wanita juga mampu berjaya,” katanya yang turut diraikan sebahagian pekerjanya yang hadir.

Sumber: Berita Harian