Bekas Naib Presiden PKR Kembali Sertai MIC


SUNGAI PETANI  -- Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan secara rasmi kembali menyertai MIC setelah kagum dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak dalam membantu masyarakat India.

Penyertaan semula  Gobalakrishnan yang juga bekas anggota Parlimen Padang Serai  ke pangkuan MIC diumumkan  oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S Subramaniam.

Dr. Subramaniam  sewaktu berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Meletakkan Batu Asas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (Taman Keladi di sini, hari in berkata, hasrat Gobalakrishnan menyertai semula MIC disuarakan dalam satu pertemuan beberapa minggu lalu.

"Beliau (Gobalakrishnan) memaklumkan kepada saya beberapa minggu lalu dan minggu lepas dia hantar surat kepada saya, hari ini (semalam) saya beri kelulusan kepada beliau menjadi anggota MIC," kata Subramaniam, semalam.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menjelaskan, Gobalakrishnan tidak meminta apa-apa jawatan sebaliknya hanya mahu menyumbang kepada masyarakat bersama MIC.

​​​​​​​“Saya mengalu-alukan sesiapa juga yang berhasrat menyertai MIC dan bersama-sama bekerja bagi mengukuhkan lagi parti,” kata Dr.Subramaniam pada sidang media selepas majlis itu.

Sementara itu, Gobalakrishnan berkata, beliau menceburi politik sejak 1987 dan aktif dengan Pergerakan Pemuda MIC sehinggalah meninggalkan parti dan menyertai PKR pada 1999 akibat hilang keyakinan terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

"Ketika itu saya terikut-ikut dengan perjuangan yang dibawa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dengan andaian bahawa selepas 12 tahun bersama MIC, saya boleh membawa sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat India melalui perjuangan Anwar.

"Saya pegang banyak jawatan dalam PKR sehinggalah pada 2011 saya keluar PKR selepas menyedari perjuangan itu hanya untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, bukannya membantu negara dan masyarakat India," katanya.

Beliau mengubah persepsinya terhadap kerajaansekarang setelah melihat negara di bawah kepimpinan Najib kini banyak membuat perubahan bagi menaikkan taraf hidup masyarakat India.​​​​​​​

"Saya gembira selepas enam tahun tidak menyertai mana-mana parti politik, saya diberi peluang semula untuk kembali menyertai MIC. Saya tidak berminat dengan jawatan, sebaliknya hanya mahu aktif berkhidmat untuk masyarakat," katanya. - Kedahnews.com