Bekas Sekolah Gandhi Ditutup Selepas 164 Tahun


RAJKOT – Sekolah Tinggi Alfred yang berusia 164 tahun yang terletak di Gujarat, tempat tokoh tersohor politik India, Mahatma Gandhi pernah bersekolah; telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Ia akan diubah suai menjadi sebuah muzium, lapor agensi berita Press Trust of India (PTI). Gandhi menamatkan pengajian di sekolah berkenaan pada 1887 lalu ketika berusia 18 tahun.

Cadangan untuk menukar sekolah aliran Gujarati atau juga dikenali sebagai Sekolah Tinggi Mohandas Gandhi kepada muzium malah diluluskan oleh kerajaan negeri Gujarat tahun lepas.

Susulan penutupan sekolah tersebut, pihak pentadbiran telah pun mula mengeluarkan sijil tamat persekolahan untuk semua 125 pelajar.

“Kita sudah mengeluarkan sijil tamat persekolahan bagi membolehkan pelajar memilih sambung persekolahan di sekolah pilihan mereka untuk tahun akademik akan datang,” kata Pegawai Pelajaran Daerah, Reva Patel.

Kertas cadangan bagi menutup dan mengubah suai sekolah berkenaan menjadi sebuah muzium oleh Perbadanan Perbandaran Rajkot (RMC) dihantar kepada kerajaan negeri pada tahun lepas.

Menurut Pesuruhjaya Perbandaran Rajkot, B. N. Pani, muzium itu akan mempamerkan kehidupan tokoh-tokoh terkenal termasuk Gandhi dan Sardar Patel.

Pada awalnya sekolah berkenaan dikenali Sekolah Tinggi Rajkot, ditubuhkan pada 17 Oktober 1853 semasa pemerintahan penjajah British.

Ia adalah sekolah aliran Inggeris pertama di rantau Saurashtra pada masa itu. Bangunan sekarang dan dikenali Sekolah Tinggi Alfred dibina pada 1875 dengan nama diambil sempena Duke of Edinburgh, Putera Alfred.

Selepas India mencapai kemerdekaan pada 1947, nama sekolah kemudian ditukar pula kepada Sekolah Tinggi Mohandas Gandhi.

Walaupun nama Gandhiji terpahat di sekolah berkenaan, namun ia mempunyai rekod buruk dalam penyampaian pendidikan. – Agensi