IPOH – Malang bertimpa-timpa buat seorang bekas tentera apabila rumahnya akan ditarik balik dan pada masa sama isterinya disahkan menghidap kanser payudara.
W Bersutmenaidu, 58, berkata, masalah bermula selepas dia terlibat dalam kemalangan ketika bertugas 36 tahun lalu hingga menyebabkan kaki kirinya patah.
Menurutnya, dia yang tidak mampu melakukan kerja-kerja berat mengambil keputusan untuk bersara awal selepas berkhidmat selama 16 tahun.
“Selepas beberapa tahun bekerja di syarikat swasta, saya terpaksa menempuh penderitaan apabila kaki yang sama patah sebanyak dua kali akibat terjatuh dan kini dimasukkan besi,” katanya.
Beliau berkata, sejak kejadian itu, pendapatan keluarga hanya bergantung kepada beberapa bantuan yang diterima termasuk sara hidup Angkatan Tentera Malaysia, Perkeso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, pendapatan itu tidak cukup untuk menampung keluarga kerana dua anaknya masih belajar selain perbelanjaan perubatannya dan isteri malah ada kalanya terpaksa mencatu makanan gara-gara mahu berjimat.
Bersutmenaidu berkata, pada tahun lalu mereka dikejutkan apabila menerima surat dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bahawa rumah mereka tertunggak bayarannya sebanyak RM70,000 dan bakal ditarik balik pada bila-bila masa.
Katanya, ketika dia terlibat dalam kemalangan sebelum ini, isterinya, J Maheswary, 55, menghantar semua dokumen berkaitan untuk memaklumkan kepada mereka tetapi tiada maklum balas diterima sehingga tahun lalu.
“Rumah ini kami sekeluarga tinggal sejak 27 tahun lalu, jika rumah ini diambil di mana kami hendak tinggal sedangkan anak-anak kami masih bersekolah selain keadaan kesihatan saya dan isteri yang tidak menentu.
“Jika saya mampu kerja, saya tidak akan meminta-minta tetapi dengan kaki yang bertongkat dan tidak mampu membuat kerja berat membatasi peluang untuk bekerja,” katanya.
Bersutmenaidu berkata, sejak melakukan pembedahan payudara, Maheswary tidak mampu mengangkat tangan kanannya hingga menyebabkan dia tidak dapat mengambil tempahan membuat kuih.
Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada LPPSA supaya menilai semula kesulitan yang dihadapi Bersutmenaidu dan meminta JKM untuk menambah jumlah bantuan diterima sebelum ini.
Sumber :Sinar Online