Beri Peluang Nidzam Adha Kemudi Lang Merah Hingga Ramadhan


ALOR SETAR - Penolong Jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adha Yusoff diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Helang Merah bagi semua perlawanan yang berlangsung sebelum umat Islam mula berpuasa Ramadhan ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, meskipun pihaknya sudah mempunyai 3 calon jurulatih untuk mengemudi skuad kebanggaan negeri itu, namun proses perbincangan belum lagi selesai.

"Kita sudah ada 2-3 calon, tapi kita belum buat keputusan lagi. Jadi kita beri tanggungjawab kepada coach Nidzam untuk ambil alih dan kendalikan baki perlawanan sebelum Ramadhan ini.

"Kita masih lagi berbincang, meneliti jurulatih yang paling sesuai untuk kendali pasukan Kedah. Kita sudah kenal pasti beberapa calon, tapi perbincangan belum lagi selesai," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini petang semalam.

Ahmad Bashah berkata, adalah tidak wajar membuat keputusan secara terburu-buru atau menafikan kebolehan jurulatih tempatan, khususnya Nidzam Adha yang sudah sekian lama bersama skuad Helang Merah.

Mengakui perlu memberi ruang dan peluang kepada Nidzam Adha, Menteri Besar itu meminta semua pihak terutama penyokong Hijau Kuning supaya memberi sokongan penuh kepada Penolong Jurulatih Kedah itu.

"Jadi, kita letakkan harapan kita kepada coach Nidzam. Alhamdulillah, kita dah nampak sedikit peningkatan.

"Dia ada pengalaman. Kalau dia boleh kendali dengan baik, kenapa tidak kita cuba beri peluang untuknya jadi jurulatih Kedah? Tapi kita perlulah beri sedikit masa lagi kepadanya," kata beliau lagi.

Jelas beliau, walaupun diberi kepercayaan sehingga KFA selesai berbincang dan mendapatkan Ketua Jurulatih yang sesuai, Nidzam Adha perlu membuktikan kebolehannya mengendalikan pasukan itu ke mercu kejayaan yang diharap.

Namun begitu, bekas pemain Kedah diyakini mampu untuk menggalas tanggungjawab mengemudi skuad Helang Merah berdasarkan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh yang agak lama bersama skuad berkenaan. -Kedahnews.com