Brunei Lancar "InfoDeptBN" Kekang Berita Fitnah, Palsu


BANDAR SERI BEGAWAN – Jika jirannya, Malaysia ada portal Sebenarnya.My yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Brunei turut tidak ketinggalan mengikut jejak sama.

Jabatan Penerangan Brunei di Pejabat Perdana Menteri (PMO) melancarkan aplikasi InfoDeptBN dalam usaha menangkis segala berita palsu dan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap negara kecil tersebut, baru-baru ini.

Ia dirasmikan Timbalan Menteri di PMO, Dato Paduka Awang Haji Haman Haji Abu Bakar bersempena sambutan ulang tahun ke-65 jabatan tersebut sebagai jentera komunikasi kerajaan terhadap kepentingan rakyat Brunei.

“Aplikasi ini diwujudkan sebagai sistem maklumat sehenti yang akan menjelaskan dan memperbetulkan berita kurang tepat selain spekulasi liar mengenai Brunei,” kata pemangku Pengarah Penerangan, Mawardi Mohammad.

InfoDeptBN juga mencatat sejarah tersendiri untuk jabatan tersebut sejajar moto ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’ dan dalam usaha mencapai aspirasi jangka panjang menerusi inisiatif Wawasan Brunei 2035.

“Kita turut berhasrat menjadikan ia portal penerangan isu semasa sekali gus menjimatkan bajet tahunan kerajaan mengurangkan penggunaan kertas bagi mencetak risalah kempen, buletin berkala dan sebagainya,” jelas beliau.

Mawardi juga menggesa rakyat memanfaatkan aplikasi mudah alih tersebut dan berterusan menyokong usaha jabatan dalam penyampaian tepat segala dasar kerajaan serta maklum balas positif terhadap usaha pemerintah.

Antara data disediakan dalam InfoDeptBN ialah maklumat berkaitan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah termasuk titah baginda, tajuk berita yang pernah disiarkan serta forum interaktif antara baginda dan rakyat.

Sebagai usaha mempromosikan aplikasi itu, satu kempen jerayawara bakal diadakan di seluruh negara antaranya di Times Square Shopping Centre; Bumiputera Complex, Pekan Bangar; KB Sentral, Belait dan Petani Mall, Tutong.

Program anjuran Jabatan Penerangan Brunei itu akan membolehkan rakyat didedahkan dengan cara betul menggunakan aplikasi tersebut dan kesedaran berhubung maklumat tidak sahih. – Agensi