Budak Aceh Temui Elektrik Dalam Pokok Kedondong


SEORANG kanak-kanak dari Aceh, Indonesia berjaya menemui tenaga elektrik dari pokok kedondong dan sekali gus memberi ‘cahaya’ kepada penduduk setempat di kawasan kediamannya.

Aceh Tribunnews melaporkan, Naufal Raziq, 14, telah mencuba sebanyak 80 kali dengan perbelanjaan Rp14 juta (RM4,560) sebelum dia menemui aliran elektrik di pokok kedondong.

“Pertama kali saya baca dari buku teks sains ketika di gred 6 dan mencubanya pada kentang, mangga dan belimbing sebelum pada pokok.

“Kami menguji di rumah bagi keperluan elektrik setiap hari. Mereka yang mempunyai pokok kedondong ini digunakan peranti sebagai sumber baru tenaga elektrik,” kata Naufal.

Menurutnya, apabila mempelajari ilmu pengetahuan alam, dia menyedari bahawa buah yang mengandung asam boleh menghasilkan elektrik dan melakukan percubaan.

“Saya berfikir, jika buahnya mengandungi asam, jadi pokoknya juga turut mempunyai bahan yang sama hingga boleh menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Naufal hanya menggunakan bahan seperti tembaga, batang besi, kapasitor untuk mendapatkan arus elektrik dari pokok kedondong ini.

Kejayaan anak pertama dari dua adik beradik ini turut dibantu bapanya, Supriman yang bekerja dalam bidang elektronik.

Berkat penemuan Naufal itu, kira-kira 60 rumah di kawasan rumahnya mendapat bekalan elektrik daripada pokok kedondong. – Kedahnews.com