Bukti Kemampuan, Nidzam Adzha Mula Tunjuk "Taring" – MB


ALOR SETAR -  Pemangku jurulatih skuad Lang Merah,  Mohd Nidzam Adzha Yusof semakin meyakinkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) apabila berjaya membawa pasukan bimbingnya ke perlawanan akhir Piala FA.

Sekalipun Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe membawa diri secara mengejut ketika skuad Kedah sedang meningkat, barisan pemain masih mempunyai semangat yang tinggi di bawah kendalian oleh Nidzam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, walaupun di akhir-akhir ini ada sedikit masalah dengan pemergian jurulatih Cheng Hoe, tetapi Kedah masih mampu layak ke akhir piala FA.

Katanya, penyokong Kedah sebelum ini agak resah dengan kekalahan teruk apabila dibelasah 5-0  oleh T-Team di peringkat  Liga Super pertengahan April lepas, tetapi para pemain Kedah mampu bangkit semula untuk menebus kehampaan mereka di tempat lawan.

"Ini satu kejayaan yang membanggakan kita apatah lagi ia dipikul oleh penolong jurulatih.

"Ia amat menggembirkan para penyokong Kedah selepas melihat pasukan mereka menang tipis 1-0 di gelanggang sendiri pada peringkat separuh akhir pertama tapi bangkit dengan bergaya di tempat lawan," kata Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA kepada Kedahnews.com.

Beliau berkata demikian sejurus merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini semalam.


Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA berkata, walaupun Nidzam mampu membawa skuad bimbingannya ke akhir Piala FA,  Kedah masih juga berusaha untuk mendapatkan jurulatih luar negara.

Buat masa ini, kata Ahmad Bashah lagi tanggungjawab untuk melatih pemain Hijau Kuning akan terus dipikul dan diberi kepercayaan kepada Nidzam yang juga bekas pemain skuad Kedah.

Pada 30 April lepas  KFA membuat keputusan mengejut untuk melepaskan Cheng Hoe meninggalkan Kedah, iaitu sehari sebelum saingan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu.

Cheng Hoe yang membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia tahun lepas ditawarkan  oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk  membantu mengendalikan skuad kebangsaan Harimau Malaya. - Kedahnews.com