Bagi mereka yang pernah membesar sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, novel Jibam karya kartunis terkenal, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon, barangkali bukan asing lagi.
Naskhah yang mengangkat kisah kanak-kanak lembam iaitu Ashraf atau nama panggilannya Jibam itu sebenarnya mencungkil bagaimana budak tersebut mampu mewarisi kepandaian bapanya, Suman dalam mengubati penyakit.
Menurut portal berita AgendaDaily, sekitar tahun 2007 lalu, Jibam pernah diuar-uarkan akan diadaptasi untuk ‘dibawa’ ke layar perak, namun perancangan tersebut tidak pernah menjadi kenyataan dan ia terus berkubur.
Bagaimanapun, sebuah syarikat produksi tempatan, Spektra Selasih Sdn. Bhd. akhirnya merealisasikan perancangan lama tersebut apabila bertindak dengan menjadi penerbit untuk pembikinan sulung filem Jibam The Movie.
Filem diterajui adik Muhammad Arif Abdullah sebagai Jibam, yang sebelum ini meledak kerana lakonan berkesan sebagai Buntat dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku itu, dijangka menemui penonton pada September depan.
Penerbit filem Jibam The Movie, Jafar Ahmad dipetik portal itu memberitahu bahawa novel Jibam secara kebetulan antara karya kegemarannya ketika kecil dan menjadi impian untuk melihat Jibam diadaptasi pula ke layar perak.
Sehingga kini ujar beliau, sebanyak 95 peratus jalan cerita dalam novel tersebut dikekalkan manakala hanya baki lima peratus lagi perlu diubah suai dan ditambah baik sedikit mengikut kesesuaian untuk versi filem berkenaan.
Malah sepanjang proses penggambaran, Ujang yang pernah popular menerusi karya Ujang dalam majalah satira bulanan Gila-Gila, sanggup datang ke lokasi untuk berkongsi idea yang sesuai mengenai pembikinan filem ini.
“Malah Ujang sendiri pilih adik Muhammad Arif selepas kami semua sendiri berjumpa dengan bapanya. Saya harap filem ini boleh tarik perhatian penonton ke pawagam,” ujar Jafar apabila bercerita rasional pemilihan si cilik itu.
Dalam pada itu, beliau mengakui agak bertuah apabila populariti Muhammad Arif yang kini berusia 13 tahun secara kebetulan melonjak sebelum filem Jibam The Movie, ditayangkan di pawagam tempatan.
“Kalau diikutkan Jibam adalah karya pertama yang dilakonkan oleh Arif sebelum dia berlakon dalam drama 7 Hari Mencintaiku. Sebelum ni kami dah maklum Arif ada menghidap disleksia tetapi dia berbakat besar dalam lakonan.
“Selepas kami confirm (yakin) untuk ambil dia berlakon, Muhammad Arif ikut kami ke Kuala Lumpur dan belajar berlakon dengan guru dari Aswara (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan) selama 10 hari.
“Alhamdulillah, dia mudah hafal skrip dan boleh beri apa yang pengarah nak,” jelas Jafar. Sebagai permulaan promosi naskhah ini, Spektra Selasih menandatangani perjanjian usaha sama dengan sebuah syarikat kecantikan.
Produksi tersebut memutuskan untuk memilih Cantik Dara dan pemiliknya, Nurul Sayang Rahmat, yang turut mahu menaja kos promosi filem berkenaan kerana dikatakan begitu tertarik dengan jalan cerita Jibam The Movie.
“Karya novel Jibam ni, walaupun sudah lama, tetapi masih ramai yang ingat lagi. Sebab itu saya nak taja promosi filem ini. Jalan ceritanya juga mengenai anak istimewa. Anak-anak istimewa ni sangat dekat di hati saya.
“Filem seperti ini perlu banyak dihasilkan di Malaysia kerana ada nilai sensitiviti dan menyuntik rasa kita supaya lebih dekat dengan mereka (golongan istimewa),” kata Nurul yang merahsiakan jumlah tajaan.
Tambah Nurul, dia juga berhasrat untuk mempromosikan filem Jibam The Movie ke pasaran luar negara namun, setakat ini semuanya masih lagi dalam proses perbincangan. – Agensi