Buru Peledak Bom Hingga Ke Lubang Cacing - Jokowi


JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini mengarahkan pasukan keselamatan memburu sehingga ke akar umbi rangkaian pengganas yangdisyaki terlibat dengan pengeboman di Kampung Melayu, Jakarta Timur semalam.

"Saya sudah perintahkan Ketua Polis Republik Indonesia untuk menghapuskan rangkaian yang melakukan perbuatan keterlaluan itu sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan anggota polis dan orang awam, " kata Jokowi dalam satu kenyataan kepada media

Ketika pengeboman berlaku, Presiden Indonesia itu berada di JawaTimur dalam lawatan kerjanya ke wilayah itu.  

"Saya perintahkan polis untuk mengejar mereka sampai ke akar-akarnya, kerana kita tahu ramai yang menjadi mangsanya.... dan ini sudah keterlaluan," ujarnya.

Menurut beliau lagi, mangsa ledakan bom itu terdiri pengangkut penumpang yang menggunakan motosikal, pemandu van, penjual makanan dan polis.

Jokowi turut menyampaikan rasa sedih yang mendalam terhadap mangsa dan keluarga mereka sama ada yang masih dirawat di hospital mahu pun yang meninggal, terutama pada anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

 "Saya menyeru semua anak bangsa di seluruh pelosok tanah air bertenang dan tetap bersatu terutama ketika umat Islam sedang mempersiapkan diri bagi  menyambut bulan puasa," katanya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 9 malam waktu tempatan  itu (pukuI 10 malam waktu Malaysia), lima orang termasuk tiga anggota polis terbunuh sementara lebih 10 lagi cedera akibat ledakan bom sebanyak dua kali di kawasan hentian bas yang sibuk itu.

(Sumber : Detiknews)