Cabaran Istana Takeshi Bakal Meriahkan Karnival Syoknya!


ALOR SETAR – Cabaran Istana Takeshi, permainan menghiburkan yang begitu popular di Jepun terpilih sebagai antara acara menarik pada Karnival Syoknya bersempena Hari Penyayang Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di Stadium Darulaman di sini.

Bermula pada 18 hingga 21 Mei ini, gelanggang  Istana Takeshi yang panjangnya menjangkau 150 meter seperti yang tercatat dalam "The Malaysia Book of Records" bakal mencabar kehebatan rakyat Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Infografik, Nisah Abdul Karim berkata, segmen cabaran Istana Takeshi itu juga bakal melibatkan penyertaan berkumpulan tidak kurang daripada 50 orang dan pemenangnya akan menerima wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

"Segmen cabaran turut diadakan di mana penyertaannya melibatkan secara berkumpulan yang tidak kurang daripada 50 peserta.

"Pemenang pertandingan ini akan menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.


Selain itu, beliau menjelaskan bahawa permainan yang mencabar itu sebenarnya amat sesuai untuk disertai pelbagai peringkat usia, sama ada golongan kanak-kanak mahupun dewasa.

Kata beliau lagi, Karnival Syoknya yang dianjurkan bersama Karnival Hari Penyayang 2017 itu juga buat julung kalinya juga mempekenalkan 4x4 Challenge, perarakan kereta mewah, mini auto drive dan tarian Satu Malaysia.

Jelas Nisah, para pengunjung juga akan berkesempatan untuk menyertai acara yang memberi manfaat kepada orang ramai seperti Temuduga Bersama Mak Cun dan Forum Perdana, Ikhtibar Ramadan, menjelang bulan puasa tidak lama lagi.

"Turut diadakan ialah persembahan maskot super hero, fesyen show, demo mekap, persembahan kanak-kanak, champion of bakers, temuduga bersama Mak Cun, Forum Perdana Ikhtibar Ramadan dan clearance sale," kata beliau.

Acara lasak, Larian Bendang, yang menjadi acara wajib pada setiap penganjuran itu juga turut bakal diadakan. - Kedahnews.com