TAMPIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan membuka enam lagi pasar tani di negeri ini termasuk dua di kawasan rehat dan rawat (R&R) di kedua-dua arah di Seremban.
Pengarah Fama Negeri Sembilan, Muslim Manja berkata, negeri ini mempunyai 24 pasar tani membabitkan 1,093 peserta dan bilangan peserta terbesar dicatatkan di pasar tani daerah Seremban.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menunggu permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perbincangan dengan pihak Plus Malaysia Bhd (Plus) untuk melaksanakan operasi pasar tani di enam tapak yang dicadangkan.
“Cadangan pasar tani berkenaan ialah Pasar Tani Bandar Seremban Selatan dan tambahan hari Pasar Tani Nusari Biz yang kedua-duanya terletak di Nilai, Pasar Tani Gadong Jaya di Seremban dan dua Pasar Tani R&R arah utara dan selatan.
“Manakala, Pasar Tani Bandar Seri Jempol iaitu pasar tani kekal, kita cadangkan tambahan hari dari hanya beroperasi pada Jumaat ditambah kepada hari Selasa. Kita jangka operasi tambahan hari ini akan bermula Ogos ini,” katanya semasa pelancaran Pasar Tani Khas Ramadan di Pasar Tani Tampin, di sini.
Turut hadir, Adun Gemas, Datuk Abdul Razak Ab Said dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) Fama, Abd Razak Abd Majid.
Muslim berkata, pasar tani di R&R pernah beroperasi pada 2013, namun susulan kekangan dari segi teknikal termasuk pembesaran lebuh raya, operasinya terpaksa dihentikan.
“Bagaimanapun, bagi sasaran terbaru ini, kita telah merancang sejak dari tahun lepas lagi dengan pihak Plus dan kini dalam perbincangan lanjut bagi penentuan operasi.
“Fama dan Plus mencadangkan untuk mengadakan pasar tani ini pada Sabtu dan Ahad bagi memberi kemudahan serta pilihan kepada pengguna lebuh raya berkenaan," katanya.
Beliau berharap sasaran Fama untuk meningkatkan hasil pendapatan peserta pasar tani berjaya dicapai sehingga penghujung tahun ini iaitu dengan nilai jualan antara RM24 juta hingga RM25 juta.
Sumber: Sinar Harian