Cadang Pembangunan Bukit Kayu Hitam Diperbadankan


ALOR SETAR – Sebuah perbadanan dicadangkan untuk membangunkan Bandar Bukit Kayu Hitam secara teratur dan sistematik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pintu masuk utama di utara Semenanjung.
Syor itu dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar yang mahukan pembangunan Bandar di sempadan Thailand itu diuruskan oleh sebuah badan atau lembaga seperti mana Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) atau pun Perbadanan Putrajaya.
Jika sebuah badan khusus yang mentadbirnya, pembangunan Bukit Kayu Hitam akan menjadi lebih tersusun termasuk zon industri, pusat perniagaan serta perumahan awam, kata Zaini kepada Kedahnews.com baru-baru ini. 
 Beliau menyatakan perkara itu bagi mengulas cadangan kerajaan untuk memanjangkan operasi di pintu keluar/ masuk Malaysia dan Thailand itu daripada 18 kepada 24 jam selain  pelbagai projek yang dirancang di Bukit Kayu Hitam.
 Antara Projek mega di situ termasuk bandar pelancongan bebas cukai, Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) dan pelabuhan daratan  yang dirancang dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ekonomi  Koridor Utara (NCER)
Beliau menjangkakan  pembangunan di Bukit Kayu Hitam itu bakal menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaaan kepada bukan sahaja penduduk Kedah tetapi juga Perlis.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semasa melancarkan Blueprint 2.0 baru-baru ini menyatakan pembangunan wilayah utara itu bakal memacu ekonomi negeri melalui sektor industri dan pertanian.
Sementara itu menurut Ahmad Zaini lagi, gerai-gerai perniagaan perlu disusun semula untuk menarik pelawat dan pelancong asing yang dijangka bertambah berikutan cadangan operasi di pintu sempadan dibuka 24 jam.
Dalan hal ini setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri perlu duduk semeja untuk mempastikan pendbirannya tidak bertindih, kata Ahmad Zaini. -Kedahnews.com