CAP Gesa Jabatan Perikanan Ambil Tindakan Segera Di Yan


YAN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan agar mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot besar ke kawasan laut sekitar Yan yang menjadi punca utama masalah pendapatan para nelayan.

Pegawai Luar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf berkata, masalah berkenaan sudahpun lama berlaku namun tiada tindakan berkesan yang diambil.

"Para nelayan pantai kini terbeban dengan kekurangan hasil laut dan ini sudah pastinya menjejaskan kehidupan mereka," katanya.

Katanya, berikutan kelemahan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985, bukan sahaja kehidupan nelayan pantai daerah Yan sahaja yang teruk terjejas tetapi juga melibatkan seluruh nelayan pantai di negeri ini berjumlah lebih 5000 orang," katanya.

"Disebabkan masalah ini, pendapatan nelayan pantai dikatakan merosot sehingga 70 peratus.

"Pihak CAP sangat memandang berat isu ini dan amat berharap pihak berwajib seperti Jabatan Perikanan melakukan sesuatu supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Semalam, media melaporkan berita berkaitan kehidupan nelayan yang terbeban ekoran hasil tangkapan ikan berkurangan atas pelbagai faktor.

Sumber: Sinar Harian