ALOR SETAR - Kedah tidak begitu bimbang dengan kecederaan yang dialami oleh penyerang import berbisa, Ken Ilso Larsen kerana dia hanya memerlukan kira-kira tiga minggu untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan tersebut.
Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, kecederaan yang dialami penjaring terbanyak Kedah itu adalah kecederaan lama dan dia dijangka kembali cergas Julai ini.
Ken Ilso terpaksa dikeluarkan 15 minit sebelum perlawanan tamat semalam akibat kecederaan tersebut dan dia akan diberi cuti rehat selama dua minggu, kata Nidzam kepada pemberita selepas perlawanan menetang T- Team semalam.
Sementara itu, Nidzam yang mengambil alih sepenuhnya untuk mengendalikan skuad Lang Merah daripada Tan Cheng Hoe berkata, pemainnya terus mengekalkan momentum untuk mencapai kemenangan apabila menundukkan T-Team.
"Mereka mampu mengekalkan rentak permainan hingga tamat perlawanan dan semua pemain menunjukkan sikap mahu menang ." kata Nidzam yang ternyata gembira dengan kemenangan itu.
Menurut beliau lagi sasaran utama Kedah adalah memungut tiga mata penuh dan pemain membuktikannya walaupun masih keletihan selepas perlawanan akhir Piala FA dengan Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.
Kedah kini masih kekal di tangga ketiga Liga Super selepas mengumpul 24 mata dan hanya dipisahkan kelebihan jaringan dengan Pahang.- Kedahnews.