Cerai Dalam 6 Jam Untuk Pasangan Islam Di Selangor
PETALING JAYA - Proses penceraian pasangan Islam yang bersetuju untuk bercerai disingkatkan dari 90 hari ke 6 jam waktu bekerja dengan wujudnya unit ‘fast track’.
Melalui inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (Jakess) itu, kes di bawah Seksyen 47 Enakmen undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 akan melalui proses mudah yang dikendalikan oleh kumpulan yang dilantik.
Ketua Hakim Syarie Jakess, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata berdasarkan analisis penyelesaian kes yang dijalankan Seksyen 47 membabitkan semua lokasi di Selangor pada 2013, didapati tempoh penyelesaian kes adalah 60 hari bermula dari kes didaftarkan sehingga kes diputuskan.
“Tempoh itu akan ditambah 30 hari selepas itu bagi tempoh pengeluaran perintah bersih cerai menyebabkan tempoh menjadi 90 hari,” katanya.
Beliau berkata dengan pelaksanaan unit ‘fast track’ ini, tempoh 90 hari itu boleh disingkatkan kepada 6 jam waktu bekerja.
“Saya boleh kata dengan yakin, tempoh 6 jam ini tidak mustahil untuk dilaksanakan.
“Perkara ini terbukti melalui perbandingan statistik penyelesaian kes pada 2016 berbanding 2015.”
Laporan itu turut mengemukakan rekod di mana sebanyak 2,370 kes berjaya diselesaikan tahun lalu melalui unit itu berbanding 1,149 kes pada 2015.
Sumber: Free Malaysia Today