KUALA LUMPUR - Golongan guru diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang agenda memburukkan kerajaan yang ada atau mana-mana pihak.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka perlu sentiasa meletakkan nilai dan profesionalisme kerja sebagai suatu etika yang penting.
“Saya percaya, kita akan kekal dihormati sekiranya kita sentiasa ikhlas di dalam menjalankan tugas,” katanya dalam ucapan sempena majlis makan malam Sentuhan Ceria Pengetua-pengetua dan Guru-guru Besar anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Hassan.
Menurut Tengku Adnan, kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa berusaha untuk mengiktiraf jasa warga pendidik.
“Guru-guru adalah tunjang penting untuk menjayakan gagasan transformasi kerajaan menjelang 2050. Untuk mencapai matlamat itu, semestinya kita memerlukan generasi pelapis yang berkualiti dari segenap aspek sama ada moral, sahsiah, kemahiran mahupun intelek.
“Realiti itu tidak akan dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan pemimpin-pemimpin sekolah,” katanya.
Katanya lagi, golongan guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini agar mudah menghadapi cabaran pendidiakn abad ini.
“Kita semua sedar, profesion keguruan pada abad ke-21 ini terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk intelektual, kerohanian, kebudayaan, material, ideologi baharu dan sebagainya.
“Guru kini berhadapan dengan murid yang berbeza dengan murid dahulu. Murid-murid sekarang lebih terdedah dengan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber dan mereka cenderung untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan memainkan peranan aktif dalam bidang pendidikan.
“Tahun ini saja, Yayasan Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM9 juta bagi tujuan pelbagai skim dan program pembangunan pendidikan termasuklah menganjurkan seminar kecemerlangan untuk warga pendidik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian