Cuba Burukkan Polis Lepas "Kantoi" Mabuk


Walaupun "kantoi" melakukan kesalahan, kemudian lelaki ini tetap berkeras tidak mahu mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol yang berlebihan had.

Lebih menjengkelkan, lelaki ini cuba memburukkan imej polis dengan memuat naik satu rakaman video memaparkan situasi kononnya dirinya dianiaya oleh polis trafik.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu, lelaki berusia 31 tahun itu pada mulanya ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam operasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Besi-Jalan Tun Razak.

Ketika di lokasi operasi, anggota yang menjalankan ujian pernafasan ke atasnya mengesyaki dia memandu di bawah pengaruh alkohol dan didapati positif mengambil bahan itu.

Lalu dia dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun H S Lee untuk melakukan ujian kedua.

Berang ditahan, lelaki mendakwa DJ sebuah kelab malam itu bertindak merakam satu video dan mengatakan berulang kali kononnya dia tidak mabuk, sebaliknya dipaksa mengaku oleh anggota polis yang menahannya.

“Saya seorang DJ dan saya bekerja di kelab malam. Saya beritahu kepada mereka (polis) saya tidak minum pada malam itu dan saya juga tidak mabuk.

“Tetapi mereka tidak mempercayai saya dan saya dipaksa untuk ikut mereka pergi ke balai.

“Saya nak tunjukkan bertapa korupnya anggota Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam rakaman berdurasi 1 minit 42 saat itu.


Memetik laporan BH Online, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata hasil ujian pernafasan kali kedua mengesahkan lelaki itu di bawah pengaruh alkohol apabila bacaan ditunjukkan melebihi had dibenarkan iaitu 84 miligram (mg) alkohol per 100 mililiter (ml) darah.

“Tindakan suspek merakamkan video itu adalah kerana tidak berpuas hati selepas ditahan polis.

“Memang prosedur apabila seseorang itu ditahan, kita akan buat ujian pernafasan kali pertama di lokasi.

“Jika didapati positif alkohol, kita akan bawa di balik ke balai dan buat ujian kali kedua,” katanya.

Tambahnya, satu laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 berhubung penyebaran video itu. –Kedahnews.com