Curi Hasil Laut Negara Bernilai RM2.5 Juta


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 nelayan warga asing dan merampas dua bot mengandungi hasil tangkapan bernilai RM2.5 juta di 70 batu nautika Pantai Sabak, Kota Bharu, semalam.

Pegawai Memerintah KM Pekan Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, bot berkenaan ditahan pada 7 pagi kerana menangkap ikan dan hasil laut di perairan negara.

Katanya, nelayan warga Vietnam itu berusia antara 16 hingga 64 tahun menaiki dua bot menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kami melakukan pemantauan selama satu jam sebelum menahan mereka dan merampas dua tan ikan, satu tan baja ikan dan 300 kilogram (kg) sotong bernilai RM2.5 juta.

"Semua nelayan itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tok Bali dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan yang membawa denda hingga RM1 juta untuk tekong dan RM100,000 untuk awak-awak. Bot yang ditahan akan disita dan dilelong mengikut Seksyen 16 Akta Perikanan," katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Sumber : MyMetro