ALOR SETAR - Pasangan warga asing mencetuskan suasana panik di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini apabila seorang daripada mereka mendakwa membawa bom di dalam bagasi, malam tadi.
Difahamkan acaman berkenaan pertama kali berlaku di lapangan terbang itu dan ketika kejadian pasangan terbabit menunggu untuk penerbangan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Menurut sumber, kejadian berlaku ketika penumpang sedang berbaris untuk mendaftar masuk bagasi, kira-kira 9 malam menyebabkan lapangan terbang itu terpaksa ditutup hampir empat jam.
Kejadian turut menyebabkan penerbangan keluar dan masuk dibatalkan.
Bagaimanapun, pemeriksaan oleh anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri mengesahkan tiada bom ditemui selepas pemeriksaan menyeluruh di balai pelepasan dan sekitar kawasan terminal.
Difahamkan susulan itu pasangan warga asing terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Penguasa Kanan Bomba II Mohamad Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung ancaman bom pada 10.11 malam dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Alor Setar dikerah ke tempat kejadian untuk membantu operasi.
"Anggota bomba diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman," katanya ditemui di lokasi.
Setakat 12.15 tengah malam operasi mengesan bom yang didakwa berada di terminal dijalankan oleh anggota unit pemusnah bom.
Tinjauan di lokasi mendapati laluan masuk ke terminal ditutup kepada orang awam dan terdapat tiga jentera bomba serta dua jentera bomba lapangan terbang dan sebuah Jentera Perkhimatan Perubatan Kecemasan bersedia di lokasi.
Operasi berkenaan tamat pada 12.30 tengah malam.
Sumber: myMetro