Dalam Diam, Ramon Marcote "Dilamar" KFA


ALOR SETAR - Di sebalik sikap kurang sabar segelintir peminat Hijau Kuning di negeri ini, dalam diam Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) sedang "melamar" bekas penolong jurulatihnya, Ramon Marcote, di Sepanyol.

Mengesahkan ada dihubungi KFA, Marcote yang kini merupakan jurulatih kecergasan di kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid, menjelaskan bahawa pihaknya masih lagi berbincang dan belum ada persetujuan yang telah dicapai antara kedua pihak.

"Ya benar, tapi belum ada perjanjian yang dicapai (buat masa ini)," katanya ringkas dalam satu kenyataan.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Jeffry Low Han Chow sebelum ini mengesahkan pihak KFA telah menghubungi Marcote untuk membincangkan tentang tawaran membimbing skuad Helang Merah itu, namun masih di peringkat awal.

"Tetapi perbincangan masih di peringkat awal dan terdapat misi lebih penting dalam Piala FA yang perlu kita selesaikan ketika ini," katanya.

Marcote turut meluahkan penghargaan kepada minat KFA untuk membawa beliau kembali ke Kedah bagi mengemudi Lang Merah dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, yang kini bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Selain itu, ingatan dari para peminat menerusi media sosial juga membuat Marcote rasa dihargai.

"Perbincangan ini menunjukkan KFA menghargai usaha yang saya lakukan ketika bersama Kedah pada 2015. Malah saya teruja dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan berterusan daripada penyokong Kedah terutamanya dalam laman Instagram.

"Satu kepuasan buat diri apabila mengetahui saya amat diingat di Malaysia," katanya, namun enggan mengulas lanjut mengenai perbincangannya dengan KFA.

Desas-desus gosip bola sepak di Kedah sebelum ini mendakwa Marcote bertindak meninggalkan skuad Lang Merah adalah gara-gara gagal mencapai persetujuan berhubung kenaikan gaji yang dikatakan agak tinggi.

Namun begitu, khabar angin itu dinafikan dan pihaknya menjelaskan bahawa Marcote meninggalkan skuad Kedah untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang sains sukan, selain kembali ke kampung halamanya di Sepanyol.

Sementara itu, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com petang semalam menjelaskan bahawa Nidzam Adha Mohd Yusof mendapat kepercayaan KFA untuk mengemudi Kedah untuk baki perlawanan hingga Ramadhan ini.

Kata beliau, Nidzam Adha layak berdasarkan pengalamannya sepanjang bersama skuad Hijau Kuning selama ini dan tenaga jurulatih tempatan itu tidak kurang hebatnya untuk diberi peluang oleh semua peminat bola sepak di negeri ini.

Namun begitu kata Menteri Besar itu, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa calon yang difikirkan sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe, sekaligus bergandingan dengan Nidzam Adha bagi mengharungi cabaran musim ini. - Kedahnews.com