DAP Akan Cabar Pelucutan Kelayakan Adun Pujut


MIRI – DAP Sarawak akan membawa ke mahkamah bagi mencabar kesahihan pelucutan kelayakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung dua kerakyatan.

Setiausaha parti Sarawak Alan Ling Sie Kiong yang juga seorang peguam berkata satu injunksi akan difailkan dahulu untuk membolehkan mahkamah membuat semakan kehakiman terhadap keputusan oleh dewan undangan negeri.

“Esok, kita akan mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti di Kuching untuk membincangkan tindakan kita selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita ketika menyambut ketibaan Dr Ting di Lapangan Terbang Miri di sini semalam.

Alan berkata injunksi itu dijangka difailkan di Mahkamah Tinggi Kuching dan butiran lanjut dijangka diumumkan selepas mesyuarat tergempar parti di Kuching esok.

Sementara itu, Dr Ting melahirkan keyakinan bahawa proses kehakiman adalah jalan terbaik untuk mengelakkan pilihan raya kecil bagi kerusi Pujut. – BERNAMA