SUSULAN terdapat desakan daripada pihak tertentu yang meminta Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), Mejar (K) Datuk David Teo mengemukakan permohonan maaf, beliau pula berpendapat sebaliknya.
Malah David dipetik sebagai berkata, dunia ini pelik apabila beliau pula yang harus meminta maaf susulan insiden tersebut.
"Seseorang tampar saya, tetapi saya perlu minta maaf kepada dia dan orang ramai? Dunia yang pelik," katanya kepada Free Malaysia Today.
Terdahulu, Majlis Dialog TN50 bersama penggiat seni kecoh selepas pelakon, Sulaiman Yassin atau turut dikenali sebagai Mat Over menampar David di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Insiden itu berlaku ketika majlis dialog berlangsung apabila David dilihat mahu memberi pendapatnya dan pengacara Datuk Rosyam Nor membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.
David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator.
Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan sehinggalah pelawak Mat Over yang tidak berpuas hati terhadap sikap David itu kerana bercakap kurang sopan di hadapan Najib sebelum menamparnya.
Tambah David lagi, isu tersebut sebenarnya sudah selesai pada malam kejadian dan PM Najib sendiri sudah memaafkannya.
"Tiada keperluan untuk saya memohon maaf sekali lagi melainkan PM sendiri mahu saya berbuat demikian.
"Bagaimanapun, saya sudah jelaskan kepada beliau yang saya hanya terkejut dengan apa yang berlaku," tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian