Dedah Pelajar Kepada Teknologi Digital


BAS kembara pembelajaran #mydigitalmaker yang akan menjelajah sekolah luar bandar bagi memberi pendedahan mengenai teknologi digital kepada pelajar, dilancarkan, semalam.

Ia dilaksanakan Perbadanan Jabatan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) dengan usahasama PINTAR Foundation dan mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, bas itu direka khas bagi menempatkan pelbagai peralatan penciptaan digital menarik selain maklumat mengenai kerjaya teknologi digital masa hadapan.

"Bas ini akan menjelajah ke seluruh negeri di semenanjung Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan masyarakat tempatan di sekolah luar bandar, bandar kecil dan kurang berkemampuan terhadap peluang penciptaan digital, peralatan dan kandungannya.

"Ia dijangka mencapai 100,000 pelajar dalam tempoh dua tahun. Kita mahu generasi muda bakal menjadi pencipta inovasi masa hadapan," katanya majlis pelancaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA.

Unit kembara pembelajaran #mydigitalmaker adalah lanjutan daripada pelancaran #mydigitalmaker oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.

Sumber : MyMetro