Dhaarma Dah Ada Bayangan Pemain


KUALA LUMPUR - Kurang tiga minggu sebelum berlepas menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai depan, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sudah mempunyai bayangan barisan pemain yang akan dipilih beraksi di kempen kelayakan Piala Dunia 2018 itu.

Dhaarma berkata, beliau sudah mempunyai bayangan 14 pemain yang akan diberi kepercayaan beraksi di Brussels, namun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

“Saya fikir sudah ada 14 pemain yang mungkin sudah selamat kedudukan mereka untuk ke Brussels. Bermakna hanya tinggal slot empat pemain.

“Harus saya akui, sepanjang membimbing skuad wanita sejak Januari tahun lalu, ini proses paling sukar untuk memilih 18 pemain terbaik beraksi di Brussels,” katanya.

Jelas Dhaarma, kesukaran itu dihadapinya kerana kesemua pemain yang berada dalam skuad negara ketika ini mempamerkan kesungguhan tinggi untuk terpilih beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Mereka tahu betapa pentingnya kejohanan ini dalam usaha kita untuk layak kali pertama ke Piala Dunia. Malah ini peluang terbaik untuk beraksi di kempen kelayakan.

“Sebab itu saya lihat setiap pemain bersungguh-sungguh untuk cuba mendapat tempat,” katanya.

Malaysia yang layak kali pertama di peringkat itu, diletakkan bersama-sama gergasi dunia Australia, New Zealand, Sepanyol serta Belgium selaku tuan rumah dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula dianggotai Belanda, China, Korea Selatan, Itali dan Scotland.

Sumber : MyMetro