MAHKAMAH Majistret Sungai Petani, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM114,488 terhadap pemilik premis pasar mini selepas dia mengaku bersalah menjual rokok seludup di pasar mini di Tikam Batu, Sungai Petani pada 15 Mei lalu.
Majistret Mohamad Fared Abd Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Syazwan Abd Halim, 30, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan dikemukakannya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 147,920 batang rokok putih dan keretek pelbagai jenama bernilai 11,488.80 di sebuah premis pasar mini di Taman Setia Budi, Tikam Batu, pada 11 pagi, 15 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, tertuduh dibawa ke perkarangan mahkamah pada 9.30 pagi diiringi anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sungai Petani.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JKDM Kedah Muhd Ridhauddin Jamaludin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : My Metro