Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim |
ALOR SETAR - Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran fitnah terhadapnya oleh segelintir penyokong PAS yang menuduhnya melakukan menyeleweng.
Menurutnya, tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap penyokong PAS yang gemar bermain politik kotor dan betujuan bagi menjatuhkan PAN Sik yang selama ini begitu agresif menjalankan gerak kerja dan membantu masyarakat sekitar kawasan tersebut sejak hampir dua tahun penubuhannya.
“Saya kecewa dengan sikap segelintir penyokong Pas yang berpolitik secara kotor menyebarkan fitnah kepada saya dan parti.
“Musuh politik sebenarnya tidak senang dengan kehadiran PAN Kawasan Sik yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat setempat,” katanya.
Selain itu, Sulaiman turut mencabar pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya agar tampil mengemukakan bukti bagi mengukuhkan dakwaan penyelewengan dana beras seperti yang didedahkan penyokong PAS terbabit.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa akan memfailkan saman terhadap pemilik akaun Facebook yang sengaja melemparkan fitnah bagi memburukkan nama baiknya tersebut.
“Individu dicabar tampil bersemuka dengan rakyat Sik untuk buktikan penyelewengan dana beras benar-benar berlaku.
“Saya berani tampil ke hadapan bagi memerangi golongan penyebar fitnah ini kerana kita di pihak yang benar. Bukti status Facebook dan komen-komen yang melibatkan nama saya telah disimpan sebagai bukti di mahkamah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, peguam kepada Sulaiman, Mohd Ridzuan Muhamad berkata, pihak mereka akan mengheret si pelaku ke muka pengadilan bagi memberi pengajaran kepadanya dan orang ramai mengenai penyalahgunaan kebebasan penggunaan media sosial.
“Walaupun kita bebas bersuara di media sosial tetapi jika kebebasan itu disalah guna untuk sebarkan fitnah bagi tujuan mematikan karakter politik seseorang, individu tersebut perlu dihukum mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM600 telah menerima sumbangan beras dan barangan dapur dan segala maklumat terperinci mengenai pengagihan dana beras tersebut telah direkodkan sebagai rujukan pada masa depan.
“Sebanyak 1,139 adalah penerima sumbangan daripada jumlah keseluruhan 3,057 rakyat miskin di Sik.
“Jumlah rakyat miskin akan terus bertambah disebabkan kelembapan ekonomi, kejatuhan harga getah dan tiadanya peluang pekerjaan. Ramai ketua keluarga menganggur, sekiranya tidak dibendung jenayah juga semakin meningkat,” katanya. -Kedahnews.com