Diganggu Geng UPSR, Nabil Ahmad Tukar Nombor Telefon


KUALA LUMPUR - Pengacara Nabil Ahmad, 34, terpaksa menukar nombor telefon peribadinya gara-gara sering diganggu oleh kanak-kanak yang memasukkan nombornya ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan Geng UPSR.

Menurut duta Jakel itu, sejak dua tahun lalu, dia telah mendapat beberapa kiriman mesej daripada nombor yang tidak dikenali yang dipercayai milik pelajar sekolah.

“Bukan seorang tetapi terdapat beberapa orang remaja lelaki dan perempuan yang cuba menghubungi saya. Entah macam mana mereka dapat nombor saya, itu saya tidak pasti.

“Sampaikan ibu kepada salah seorang remaja berkenaan ada bertanyakan siapa saya kerana kekerapan anaknya menghubungi nombor milik saya.

“Lebih kelakar, ada pula pelajar sekolah rendah yang telah memasukkan nombor telefon saya ke dalam kumpulan WhatsApp Geng UPSR. Nombor Lisa Surihani dan Shahrol Shiro pun ada dalam kumpulan itu,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Tambah pelawak itu, dia mengambil masa lama untuk menukar nombor telefon peribadinya itu kerana memikirkan banyak perkara termasuk kesannya.

“Waktu mula-mula diganggu dulu, saya ada nasihatkan mereka agar menghentikannya. Kemudian wujud pula nombor lain yang menggangu silih berganti.

“Memang ada terfikir nak tukar nombor tetapi saya takut akan kehilangan contact (hubungan) dengan klien atau rakan-rakan. Kini selepas sekian lama, akhirnya saya akur untuk menukarnya,” ujarnya.

Nabil berkata demikian ketika ditemui pada majlis lelongan produk Jakel yang diadakan di Jakel Mall, di sini kelmarin. 

Sumber : Utusan Online