MENELITI rakaman singkat insiden penerbit filem prolifik, Datuk David Teo ditampar di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh pelawak veteran, Sulaiman Yassin atau Mat Over, beberapa rumusan luar kotak tular di media sosial.
Sama ada logik atau sebaliknya, ia boleh dijadikan iktibar.
Implikasi:
Kejadian pertama dalam sejarah program dialog santai artis menjadi 'liar' dan tidak menghormati majlis. Insiden satu yang memalukan dan menjadi bahan ketawa pemerhati politik dunia.
Kawalan keselamatan Perdana Menteri berada pada tahap sangat lemah dan mengundang bahaya jika diserang pihak lain. Pengiring dan pengawal keselamatan terlatih terlalu leka, tidak membaca situasi untuk memastikan insiden tersebut tidak berlaku apatah lagi pada jarak yang sangat hampir dengan Perdana Menteri (tidak lebih 10 meter).
Budaya samseng kini kian menular dan penganjur dikatakan memandang remeh aspek jaminan keselamatan kepada jemputan dan tetamu.
Insiden juga berisiko dimanipulasikan kumpulan politik tertentu bertujuan memecah sokongan dan mencipta serangan terhadap musuh politik masing-masing.
Tindakan Mat Over dan David Teo tidak mewakili budaya kepelbagaian kaum dalam negara sebaliknya satu tindakan memalukan kaum dan agama pelaku.
Timbul juga andaian bahawa adanya kebarangkalian rasa tidak puas hati berhubung industri seni dan perfileman mengakibatkan insiden berlaku.
Kekecohan boleh dielak jika:
Moderator, Datuk Rosyam Nor memainkan peranan dengan bijaksana, neutral, adil dan tenang dalam mengawal perjalanan program dan audien.
Pengiring dan pegawai keselamatan bertindak pantas. David Teo dan Mat Over memahami tujuan dialog diadakan.
Jadikan majlis program tertutup. Kesemua jemputan, tetamu diarah mematikan telefon pintar masing-masing. Semoga kejadian seumpama tidak berulang.
Sumber : Sinar Online