Dua Bekas Pegawai TUDM Dituduh Terima Rasuah


DUA bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM600,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 48, dan Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Kamal Baharin didakwa memperoleh suapan itu daripada Ab Rahim Ghalim melalui Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman dalam bentuk dua cek berjumlah RM600,000.

Cek itu kononnya sebagai upah mendapatkan bayaran tertunggak RM14.4 juta bagi 52 invois untuk kerja kontrak syarikat milik Ab Rahim.

Manakala Fadzil Noor didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Kamal Baharin menerima suapan itu.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Rozilah kemudian menetapkan jaminan RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Sumber : MyMetro