Facebook Tergendala Di Seluruh Dunia?


PETALING JAYA - Laman sosial Facebook dilaporkan tergendala di seluruh dunia sejak malam Isnin.

Menerusi laman yang mengesan status dan masalah berkaitan kelancaran media sosial ini, downdetector.com , ramai dilihat membuat komen mengenai masalah untuk mengakses masuk.

Kebanyakan mereka yang membuat aduan datangnya dari Amerika Syarikat, dengan beberapa pengguna dari Asia termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Vietnam turut membuat aduan sama.

Selain mengalami masalah 'log masuk' pengguna juga melaporkan beberapa isu seperti posting dihantar secara automatik tanpa perlu menekan 'hantar' dan beberapa masalah lain.

Sehingga jam 10 pagi Selasa, sebanyak 7,598 aduan dibuat, di mana ia dapat dilihat melalui graf 'Masalah Facebook' yang dikemaskini setiap tiga jam sekali di laman web berkenaan.

Tiga masalah paling utama yang dihadapi adalah 'padam sepenuhnya' (40 peratus), masalah log masuk (37 peratus) dan masalah 'gambar' (21 peratus).

Setakat ini, hampir 30,000 pengguna di seluruh dunia telah meninggalkan komen mengenai masalah yang dihadapi mereka.

Berdasarkan komen-komen tersebut, keadaan dilihat masih tidak stabil dengan beberapa pengguna berkata masalah mereka telah selesai, tetapi tidak bagi pengguna lain di lokasi yang sama.


Sementara itu Outage Report melaporkan bahawa selain Facebook, aplikasi Twitter dan Instagram turut mengalami masalah sejak pagi ini.

Sumber: mStar