Fasa Kedua Kuat Kuasa Haram Merokok


ALOR SETAR - Kerajaan negeri perlu melalui beberapa peringkat terlebih dahulu sebelum proses gazetkan fatwa mengharamkan merokok di Kedah, walaupun fatwa itu dikeluarkan sejak 1996.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, ini kerana pelaksanaan masih dalam bentuk enakmen, iaitu mana-mana fatwa yang dikeluarkan hendaklah dijadikan enakmen sebelum boleh dikuatkuasakan pelaksanaannya.

“Mungkin kita akan fikirkan bagaimana untuk masuk ke fasa kedua, untuk laksanakan undang-undang pengharaman merokok mengikut fatwa yang kita keluarkan itu sebagai enakmen. Bagaimana pun, ia perlu lalui beberapa peringkat sebelum dibawa ke

Sidang Dun,” katanya, selepas merasmikan pelancaran Pertubuhan Warisan Negeri Kedah di pekarangan Rumah Warisan Tok Su, semalam.

Katanya, perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Exco pada masa akan datang sekiranya ada keperluan mendesak daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Kesihatan Kedah.

“Buat masa ini, tiada permintaan khusus dari persatuan doktor atau persatuan pengguna untuk kita bawa ke peringkat seterusnya. Namun larangan merokok di taman awam yang dilaksanakan baru-baru ini di Kedah, boleh dijadikan perintis ke arah itu,” katanya.

Mohd Rawi berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram, walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan, merokok mendatangkan mudarat.

“Haram yang difatwakan itu berdasarkan hukum takzir, perbuatan yang dilakukan jika bawa mudarat adalah haram di sisi agama Islam. Hukuman takzir diserahkan kepada budi bicara supaya hukuman itu beri pengajaran, antaranya teguran, nasihat dan denda,” katanya.

Menurutnya, perkara yang difatwakan haram selepas dilakukan penambahbaikan maklumat dan kajian, perlu pelaksanaan rapi dan dilaksana secara berperingkat untuk elak kekecohan.

“Kadang mahu laksana hukum yang dulu tidak haram, kemudian diharamkan, jika dilaksana mendadak boleh timbulkan kegawatan. Undang-Undang Syariah ada tertibnya, mulakan dengan tarbiah sebelum menghukum,” katanya.

Pada 9 Mei lalu, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad tegaskan, inisiatif mewarta atau menggazet pengharaman rokok di Kedah, adalah tanggungjawab kerajaan untuk dimasukkan ke Dewan Undangan Negeri supaya boleh diwartakan larangannya.

Penguatkuasaan perlu dibuat menyeluruh, dan bukan hanya di Kedah jika mahu isu merokok diselesaikan.

Sebelum itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan negeri menggazet fatwa pengharaman merokok di Kedah, susulan Kedah negeri kedua tertinggi perokok dalam negara.

Sumber  : Sinar Online