Final Liga Europa Membosankan - Bosz


STOCKHOLM - Pengendali Ajax, Peter Bosz berkata, taktik ‘tidak bercita-cita’ MANCHESTER UNITED menyebabkan perlawanan amat membosankan ketika pasukannya tewas 0-2 dalam final Liga Europa di Stockholm, kelmarin.

United merangkul trofi ber­kenaan buat kali pertama, berterima kasih kepada jaringan Paul Pogba dan Henrikh Mkhitaryan, meskipun hanya me­nguasai 33 peratus permainan di Friends Arena dan hanya melancarkan empat percubaan tepat.

“Saya sangat kecewa kerana anda bermain dalam perlawanan akhir untuk memenangi trofi. Kami memberi aksi terbaik, tetapi gagal menang.

“Saya tidak dapat melihat aksi terbaik Ajax seperti yang biasa dilakukan, iaitu permainan bola sepak menarik, dominan dan mengasak lawan.

“Sukar untuk mengatur asakan apabila Manchester Uni­ted hanya berminat membuat hantaran jauh dan tidak mahu mengambil risiko melakukan gerakan pendek ke arah pintu gol.

“Saya rasa, ini perlawanan yang membosankan. Tidak ba­nyak peluang diatur kedua-dua pasukan,” kata Bosz.

Perlawanan itu turut dibaya­ngi insiden serangan pengganas di Manchester pada Isnin lalu, yang mengorbankan 22 orang dan berpuluh lagi cedera.

Bosz mengakui, insiden ber­kenaan memberi impak kepada pemain kedua-dua pasukan.

“Sudah tentu kedua-dua pa­sukan terkesan dengan apa yang berlaku. Namun, sebaik sahaja melangkah ke final anda perlu melupakan detik itu dan memberi tumpuan kepada permai­nan,” katanya lagi. – AFP