Final Piala FA: Kedah - Pahang, Bukti Kemampuan Jurulatih Tempatan?


ALOR SETAR  -  Nidzam Adzha  Yusoff, 49  dan Dollah Salleh, 53,  kini menjadi tumpuan menjelang perlawanan akhir bolasepak Piala FA antara Kedah dan Pahang pada 20 Mei ini.

Ketika pasukan dan kelab bolasepak di negara ini tercari-cari jurulatih import yang terbaik, rupanya masih ada ‘permata di bumi sendiri’.

Kemampuan Kedah dan Pahang yang dibimbingkan oleh dua jurulatih itu hingga membawa pasukan masing-masing ke pentas final Piala FA sudah tentu membuka mata kepada pihak pengurusan bolasepak tempatan, negeri dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Nidzam dan Dollah adalah sosok penting dalam mencaturkan strategi pasukan Kedah dan Pahang menjelang pertarungan terakhir Lang Merah dan Tok Gajah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Kedua-dua mereka bukanlah asing bagi pemain dan penyokong bolasepak sama ada di peringkat liga tempatan mahu pun di pentas antarabangsa.

Nidzam dan Dollah adalah bekas pemain liga perdana Piala Malaysia sekitar tahun 80an hingga 90an. Mereka juga pernah berpindah kelab di samping beraksi  dalam skuad kebangsaan.

Nidzam pernah mewakili  Perak dan Kedah selain melatih beberapa kelab termasuk Perak, penolong jurulatih Felda United dan penolong jurulatih Kedah pada 2012 selepas ditinggalkan oleh Wan Jamak Wan Hassan yang digantung pada 2011.

Namun Nidzam juga pernah kecewa hingga melepaskan jawatan serta-merta sebagai pengendali pasukan utama Kedah pada 2012 setelah skuad Kenari ketika itu  berada di tangga kedua tercorot liga.

Kini bekas pemain sayap Kedah itu terpaksa memikul misi penting  selepas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menerima tawaran FAM selaku penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Berbanding Nidzam,  Dollah pula dilihat lebih menyerlah kerana pernah melatih beberapa pasukan ‘elit’ termasuk Pahang sebelum ini selain diberi kepercayaan membimbing skuad negara, Harimau Malaya.

Namun Dollah juga tidak terlepas dengan kritikan pedas dan kekecewaan selepas skuad kendaliannya, Harimau Malaya yang dibentuk untuk kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019  mengalami  kekalahan teruk 6-0 kepada Palestine dan 10 -0 dengan Amiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kekalahan dan kritikan itu mendorong Dollah untuk melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih pada 3 September 2015.

Dollah yang mengambil alih skuad Pahang daripada Zainal Abidin Hassan sementara  Nidzam yang diberi kepercayaan membimbing ketika Liga Super berada di separuh jalan, kini memikul misi untuk memburu Piala FA, juara Liga Super dan Piala Malaysia.

Di peringkat liga, Pahang dan Kedah kini juga bersaing untuk memintas JDT, sebuah pasukan yang dianggap elit yang sedang berada di puncak liga.

Apa yang menarik kemampuan yang dibuktikan kedua -dua jurulatih tempatan itu memberi memberi mesej kepada jurulatih asing bahawa Malaysia juga tidak kurang jurulatih berwibawa. Kedahnews.com