Gadis Sweden Sanggup Tiinggalkan Agama Untuk Nikah Jejaka Sulawesi


JAKARTA – Jika jirannya, Malaysia pernah kecoh berita ada gadis Melayu sanggup ‘kahwin lari’ dengan jejaka Lombok, kini anak dara Eropah pula mula terpikat mengahwini teruna Indonesia.

Ibarat cinta antara benua, bulan lalu media Indonesia gempar dengan berita gadis Itali, Ilaria Monte Bianco rela ‘terbang’ 10,000 kilometer menikahi kekasihnya, Dzulfikar Wishnu Mahendra di Tragung, wilayah Jawa Tengah.

Kali ini, media melaporkan kisah pernikahan seorang pemuda desa Bojo di Kecamatan Mallusetasi, Kabupaten Barru, wilayah Sulawesi Selatan dengan wanita berasal dari Sweden, Sofya Yvonne Tedestam baru-baru ini.

Ia sekali gus mencetuskan persoalan mengenai apakah rahsia kehebatan lelaki Indonesia berwajah sawo matang di pedalaman mampu memikat gadis negara maju yang berkulit putih sehingga mereka mendirikan rumah tangga?

Lebih unik, ia bukan soal penampilan imej dan kemewahan harta, sebaliknya ramai gadis asing selesa mencari teman yang sehati dengan mereka sehingga sanggup murtad akidah asal untuk menganut pula agama Islam.

Kisah perkahwinan Syahrizal Mansyur dengan Sofya turut menjadi tular dalam kalangan netizen media sosial kerana lelaki itu cuma bekerja sebagai pembantu jurupandu selam malah beza usia pasangan itu ialah empat tahun.

Syahrizal, 32, dilaporkan mendedahkan dia hanya mula bertemu isterinya itu secara tidak sengaja dan kebetulan pula, Sofya, 36, bekerja dalam bidang yang sama di salah satu kawasan pelancongan terkenal di Sulawesi.

Waima lebih muda, Syahrizal menerima Sofya malah menyifatkan gadis Eropah itu seorang yang memiliki peribadi baik hati. Untuk cintanya itu, dia bahkan memberanikan diri ‘terbang’ ke Sweden demi melamar Sofya sendiri.

Pucuk dicinta ulam pun tiba, lamaran lelaki itu yang mesra disapa sebagai Rijal disambut baik keluarga mertuanya. Sebelum bernikah secara rasmi, Sofya memutuskan untuk memeluk agama Islam dan menjadi mualaf pada April.

Meskipun calon pengantinnya merupakan seorang warganegara asing, ternyata mas kahwin yang diberikan boleh dianggap sangat sederhana. Sofya sendiri tidak membebani pasangannya itu dengan hantaran tinggi wang tunai.

Sebaliknya dia sudi Rijal yang sekadar memberi mahar perkahwinan berupa set lengkap peralatan solat ketika majlis ijab kabul berlangsung di Aula Rumah Makan Seruni di Barru dekat Makassar, Sulawesi Selatan pada 14 Mei lalu.

Pasangan itu anggun mengenakan busana pengantin tradisional adat Bugis. Untuk rekod, sebelum bertemu Sofya, Rijal pernah bercinta dengan gadis Kanada, namun mereka tiada pula jodoh. – Agensi