ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan memberikan ganjaran khas kepada para pemain Lang Merah sekiranya berjaya membawa pulang Piala FA pada perlawanan akhir menentang Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang ternyata gembira dengan kemenangan bergaya Kedah menewaskan Terengganu malam tadi berkata, KFA juga akan tunaikan janji awal setelah skuad Hijau Kuning berjaya mara ke peringkat akhir.
“Apa yang penting kita berhasrat untuk bawa pulang Piala FA pada 20 Mei ini," kata Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA kepada wartawan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemain, jurulatih dan pihak pengurusan di atas kejayaan itu sambil mengajak rakyat Kedah untuk terus memberikan sokongan padu pada perlawanan akhir menentang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Juara tiga kali dan penyandang Piala Malaysia musim lalu itu bertindak cemerlang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila membenam tuan rumah, Terengganu 3-0 untuk mara ke akhir secara agregat 4-0.
Gol Kedah diperolehi menerusi gandingan trio importnya Liridon Krasniqi, Ken Ilso dan Sandro Mendonca.
Ini adalah kali kelima skuad Lang Merah mara ke pentas akhir selepas kali terakhir menjuarai piala itu setelah mengalahkan Selangor pada 2008. - Kedahnews.com