SIAPA sangka, kisah penurunan berat badan pelakon Catriona Ross sebanyak 17 kilogram (kg) dalam tempoh lima bulan yang menjadi tular membawa tuah buat bintang berdarah kacukan ini.
Aktres ini tanda diduga kembali meraih populariti daripada peminat seperti era kegemilangan pernah dikecapinya suatu masa dahulu.
Tidak sekadar itu, perubahan yang dialaminya turut memberinya peluang untuknya menerbitkan sebuah buku tidak lama lagi.
Menurut Catriona, buku ‘resepi kurus’ yang mengandungi rahsia dan teknik-tekniknya untuk menurunkan berat badan itu dijangka akan berada di pasaran selewat-lewatnya tahun ini.
“Ramai peminat yang bertanyakan tentang rahsia dan cara bagaimana saya boleh kurus. Oleh itu, saya merancang untuk menerbitkan sebuah buku tentang respi masakan dan juga cara-cara saya mengurangkan berat badan.
“Buku tersebut bakal dilancarkan selewat-lewatnya tahun ini. Saya merancang untuk melancarkan buku tersebut selepas bulan Ramadan tetapi kita lihat macam mana,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.
Sebelum ini, Catriona ada berkongsi tip mengurangkan berat badan di mana dia mendakwa mengamalkan lima aktiviti utama iaitu daki gunung, berenang, diet ‘eat clean’, ambil makanan kukus dan memakan nasi beras perang.
Terdahulu, ibu tiga anak ini pernah memiliki berat mencecah sehingga 75kg. – Kedahnews.com