Generasi Muda Perlu Fahami Maksud Sebenar Pesta Keaamatan


TUARAN – Pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau mahu masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), khususnya generasi muda memahami pengertian sebenar perayaan Pesta Kaamatan.

Beliau berkata kefahaman mendalam mengenai perayaan yang disambut saban tahun penting bukan sahaja untuk memastikan budaya etnik itu terus kukuh tetapi juga untuk mewarisi unsur pembinaan jati diri melalui budaya di sebalik perayaan berkenaan.

“Kefahaman mengenai Kaamatan masih rendah. Sebab itu pada hari ini, saya ingin menyeru golongan muda supaya mengambil inistiatif untuk memahami sambutan ini. Satu daripada caranya ialah pembacaan. Pada hari ini dengan teknologi internet , kita boleh google sahaja. Semua maklumat ada di sana. Kita boleh baca.

“Hasil penyelidikan (mengenai Kaamatan) sudah dimuat naik di internet dan boleh dibaca. Yang penting golongan muda harus menghayati ini supaya mereka dapat meneruskan kesinambungan budaya kita,” katanya.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan anjuran UPKO di Tenghilan dekat sini baru-baru ini.

Menurut Madius, satu daripada aspek yang boleh dipelajari generasi muda daripada sambutan Kaamatan ialah pemupukan disiplin yang merupakan elemen penting dalam menjalani kehidupan harian.

“Kaamatan ialah sistem amalan kita, seperti saya kata tadi dari segi disiplin. Contoh yang mudah dari segi pemakanan. Kadang-kadang kita ambil makanan tetapi tidak dihabiskan. Kalau makan biarlah secukupnya. Jangan orang Dusun kata ada ‘mumu’ (nasi tertumpah dari pinggan ketika makan).

“Di Malaysia sekarang dari segi sisa makanan begitu banyak dan dibuang begitu sahaja,”katanya.

Bagi UPKO sendiri katanya, banyak inisiatif telah diambil parti itu untuk memperkukuh kebudayaan etnik berkenaan sehingga mendapat pengiktirafan kerajaan termasuk pengajaran mata pelajaran bahasa KDM di sekolah serta beberapa institusi pengajian tinggi awam. – BERNAMA